TOPIK 2



1. SIAPA GURU TERBAIK YANG ANDA KENALI?




Bila saya menanyakan soalan berkaitan apa yang mereka suka dan tidak suka terhadap GURU kepada rakan-rakan mesti banyak jawapan yang diberikan oleh mereka seperti:

"Saya sangat suka cikgu P mengajar, walaupun garang tapi saya faham apa yang diajar"- Sapeah


" Dah lah cantik pandai bergaya pulak tu Cikgu Hani pakai apa pun cantik"- Jep
"Saya tak suka lah Cikgu Q ni mengajar macam nak taknak saja macam mana pelajar nak faham"- Lela


"Nampak sangat Cikgu O seorang yang pilih kasih, asyik pilih orang sahaja"- Jijah


" Saya sayang Cikgu T sebab dia seorang yang prihatin kerana selalu ambil berat terhadap saya" - Leman



Macam-macam jenis pandangan yang boleh kita lihat pada setiap pelajar tentang penilaian terhadap guru mereka, sama ada yang positif atau pun yang negatif. Hal ini boleh dijadikan asbab untuk mereka membuat pemilihan berkaitan guru yang terbaik yang mereka jumpai.


Berbalik kepada cerita saya, sepanjang kita menuntut ilmu dari kecil hingga dewasa pasti sudah ramai guru yang kita kenali mempunyai keunikan masing-masing. Oleh itu, pasti setiap pelajar mempunyai guru yang terbaik yang menjadi kesayangan mereka. Namun begitu, apabila kita memilih seseorang guru itu yang terbaik bukan bermaksud guru yang lain tidak terbaik buat mereka, mungkin pemilihan tersebut disebabkan oleh kelebihan yang ditunjukkan oleh guru tersebut berbanding dengan guru yang lain. Oleh yang demikian, apakah sebab menyebabkan pemilihan tersebut?.......


Sebelum itu, saya ingin perkenalkan guru terbaik yang pernah saya kenali iaitu Puan Norliza bt. Jusoh yang lebih manja disapa dengan panggilan 'Ummi' sewaktu beliau menjadi Penasihat Akademik dan juga pendidik di Politeknik. 



Gambar sewaktu perpisah semester akhir
  

Melihat ciri-ciri yang perlu ada kepada seorang seorang guru, beliau mempunyai peribadi yang mulia wajar menjadi tauladan. Hal ini demikian kerana, beliau sentiasa mengambil berat tentang pelajarnya bukan sahaja dari segi pelajaran malah dari segi JERI. Jikalau pelajarnya mempunyai masalah kewangan, pasti beliau orang pertama yang mengambil tahu dan menghulurkan bantuan. Perkara ini mungkin di anggap biasa, tetapi kami sebagai pelajar yang jauh dari keluarga sangat bersyukur dengan keprihatinan beliau terhadap kami. 


Selain itu, beliau juga dikenali dengan seorang yang pemurah kerana pada setiap minggu beliau tidak akan jemu-jemu memberikan kami makanan dan minuman secara percuma, sangat besar pengorbanan beliau terhadap kami. Tambahan pula, jika pelajarnya mendapat keputusan yang cemerlang pada setiap semester, beliau akan memberikan hadiah saguhati bernilai RM50.00. Sebagai pelajar yang telah menerima hadiah saguhati tersebut, saya berasa terharu kerana hasil usaha saya dihargai oleh guru sendiri serta dapat meningkatkan usaha pelajar yang lain untuk berjaya. Oleh yang demikian, walaupun beliau hanyalah seorang guru tetapi kami sudah menggangap beliau seperti ibu kami sendiri.


Dapat hadiah saguhati huhuhu
                                                                  

Seterusnya, beliau mempunyai ciri pengetahuan dan kemahiran dalam subjek yang diajari. Oleh yang demikian, beliau bukan sahaja Penasihat Akademik saya, malahan beliau juga merupakan pakar mengajar dalam beberapa mata pelajaran seperti pencahayaan, sistem penyaman udara dan hidraulik. Sewaktu di dalam kelas, beliau seorang yang tegas dalam mengajar murid, namun di dalam ketegasan beliau ada sedikit gurau senda membuatkan pelajar terhibur. 


Selain itu, beliau tidak lokek berkongsi ilmu dalam mengurus dan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, sewaktu kelas pencahayaan, saya memberitahu beliau yang saya sangat sukar untuk membezakan di antara lampu-lampu yang mempunyai bentuk yang sama tetapi jenis pulak yang berbeza. Oleh itu, tindakan beliau sangat pantas dengan membawa saya ke tempat pencahayaan lalu menerangkan semula satu demi satu supaya saya faham akan perbezaan setiap jenis lampu yang ada. Hal ini menunjukkan beliau seorang pendidik yang proaktif dalam mendidik pelajar dalam memahami sesuatu perkara dengan jelas dan cepat.


JJJ
Fokus untuk masa depan supaya terang
       
Di samping itu, Ummi mempunyai ciri yang baik dari segi komunikasi. Hal ini demikian kerana, komunikasi sangat penting untuk pendidik dalam meningkatkan keberkesanan sewaktu di dalam pengajaran dan pembelajaran. Sewaktu di dalam kelas, komunikasi yang digunakan oleh beliau dapat merangsang minat pelajar untuk belajar, memberi dorangan dan sokongan, mengembangkan potensi pelajar dan pelbagai lagi. Situasi ini menyebabkan pelajar tidak takut atau malu untuk bertanyakan soalan kepada beliau. 


2. APAKAH KUALITI YANG BERKAITAN DENGAN FALSAFAH YANG MENJADIKAN GURU YANG HEBAT?


i) BERTINDAK SEBAGAI PENYEBAR ILMU


Kata-Kata Hikmah Nelisa Mandela

Fungsi GURU ialah mendidik pelajar dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada disiplin dalam akademik dan juga kokurikulum di sekolah. Oleh yang demikian, guru terbaik yang saya pilih mempunyai sifat amanah, dedikasi, komited dalam menjalankan tugas, ikhlas dalam memberi ilmu, sanggup berkorban masa dan tenaga serta mempunyai semangat dalam membantu pelajarnya. Oleh itu, pendidik perlulah mendalami sebanyak ilmu sebanyak mungkin mengikut kemampuan diri supaya dapat menyebarkan ilmu kepada para pelajar supaya dapat melahirkan modal insan dan warganegara yang cemerlang serta berilmu pengetahuan. Justeru, dalam era transformasi kini, pendidikan guru mestilah menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis dalam semua aspek JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial) bagi mencapai pendidikan yang bertaraf dunia. 


ii) BERTINDAK SEBAGAI ROLE MODEL

Guru sebagai Role Model

Nilai merupakan elemen yang penting dalam mengukur mutu sesuatu perkara. Oleh yang demikian, pendidik haruslah membentuk pelajar untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Nilai-nilai yang perlu diterapkan adalah seperti pendidikan moral, agama, terminal dan instrumental. Oleh itu, pendidik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional, dan sosial yang baik dan positif supaya dapat menjalankan tugas sebagai pengajar dengan sempurna. Sebagai contoh, guru terbaik saya pilih iaitu Pn. Norliza merupakan ibu bapa yang kedua sewaktu saya belajar di politeknik, segala nilai dan perilaku beliau menjadi pemerhatian kepada  pelajar untuk dijadikan contoh teladan yang baik kepada pelajar. Selain itu, beliau juga penasihat yang baik untuk pelajar. Justeru itu, nilai-nilai murni yang dipamerkan oleh pendidik di tempat belajar secara tidak langsung akan diterapkan ke dalam jiwa pelajar.


iii) BERTINDAK SEBAGAI PENYEBAR BUDAYA ILMU


Guru Penyebar Budaya Ilmu

Ilmu merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia terutama sekali mereka yang bergelar pendidik. Hal ini menunjukkan ilmu merangkumi semua aspek kehidupan luaran dan dalaman jiwa manusia. Oleh yang demikian, guru sebagai pengamal ilmu perlu mempratikkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bersumbangsaran dan bertukar fikiran serta mencari pengalaman baru. Dalam PdP, pendidik bertindak untuk memidahkan ilmu yang baik, menaikkan adab murid serta memberi petunjuk ke arah kebenaran sebagai seorang pengamal ilmu. 

Oleh itu, guru terbaik saya mempunyai falsafah tersendiri yang menjadi elemen utama dan beliau terapkan dalam diri supaya menjadi teladan kepada pelajar untuk dicontohi. Budaya Ilmu dalam kalangan guru dan pelajar adalah sejajar dengan salah satu matlamat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu melahirkan generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan kemudiannya menjadi tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup.


3. KENAL PASTI PERSPEKTIF SEMULA JADI GURU DALAM FALSAFAH


PENDIDIKAN BARAT

Falsafah Pendidikan Barat

Falsafah pendidikan Barat dibahagikan kepada 2 bahagian falsafah pendidikan tradisional Barat dan falsafah pendidikan moden Barat. Dalam bahagian-bahagian tersebut pula mempunyai beberapa cabang lain. 

Cabang- Cabang Falsafah Pendidikan Barat

Dalam bidang falsafah pendidikan moden Barat pula ialah progresivisme dan rekonstruksionisme. Setiap falsafah pendidikan (perenialisme, esensialisme, pregresivisme dan rekonstruksionisme) mempunyai akar di dalam satu atau lebih falsafah umum seperti idealisme, realisme dan pragmatisme. Sebagai contoh, aspek-aspek idealisme dan realisme boleh didapati dalam esensialisme dan perenialisme serta pragmatism menimbulkan progresivisme dan rekonstruksionisme.


PENDIDIKAN TRADISIONAL


i) ESENTIALISME


Pandangan pendidikan ahli-ahli essensialisme banyak dipengaruhi oleh falsafah idealisme dan realisme. Falsafah ini turut menekankan kepada perkara-perkara yang asas sahaja, iaitu apa yang perlu diketahui seseorang individu agar menjadi ahli masyarakat yang produktif. Perkara-perkara pula boleh berubah dari masa ke semasa. Dalam falsafah ini, guru saya memainkan peranan yang utama dalam proses pendidikan, membantu pelajar memperolehi keperluan dan kualiti kehidupan orang dewasa, agar mereka dapat berjaya hidup dalam masyarakat secara terus menerus. Selain itu, mereka juga mengamalkan sikap pimpinan demokratik, mengambil inisiatif untuk menjalankan tugas sebagai pengajar, kreatif membentuk iklim kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dan mahir menggunakan teknik peneguhan ataupun ganjaran dan denda. 


ii) PERENIALISME


Perenialisme berasal daripada perkataan asas,  perennial yang bermaksud 'tidak berubah´. Justeru, bagi ahli perenialisme, ketelusan merupakan sesuatu yang tidak akan berubah atau bersifat  perennial. Dalam konteks tumpuan falsafah pendidikan perenialisme, hanya empat aspek akan dijelaskan, iaitu jenis kurikulum, peranan guru, kaedah mengajar dan peranan guru. Oleh itu, guru berperanan sebagai pakar yang bijaksana serta berwibawa dalam bidang pendidikan dan pengetahuan. 

Tanggungjawab mereka ialah untuk menyampaikan ilmu di samping membimbing perbincangan kumpulan. Mereka juga perlu mendisiplinkan anak murid mereka. Kaedah yang ditekankan pula adalah kaedah didaktik di mana guru mengajar dan murid belajar segala isi yang disampaikan tanpa menanyakan sebarang soalan. Dengan kata lain, guru mempunyai kuasa pakar dan tidak akan melayan sebarang pandangan anak murid mereka. Oleh itu, falsafah ini jarang digunakan oleh guru saya dalam PdP.


PENDIDIKAN MODEN


i) PROGRESIVISME


Matlamat falsafah ini adalah menyediakan golongan murid agar berupaya menakomodasi sebarang perubahan yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Seorang yang berpendidikan sebaik-baiknya berkebolehan untuk mencari alternatif  penyelesaian yang sesuai dengan masalah yang timbul. Oleh itu, guru sebagai pembimbing atau penasihat membantu pelajar-pelajar mengenali masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka di dalam persekitaran yang berubah. 

Justeru, penekanan yang lebih mestilah diberikan untuk membentuk pelajar supaya memperolehi kemahiran menyelesaikan masalah. Di samping itu, guru bertindak sebagai pengurus pengajaran yang bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, mengemukakan soalan yang merangsang pemikiran anak murid dan membimbing minat mereka ke arah yang produktif.


FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan pengahayatan Islam bedasarkan al-Quran dan as-sunnah, bagi membentuk sikap kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah s.w.t yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat "


Elemen dalam Falsafah Pendidikan Islam 


Terdapat 3 elemen yang perlu ada dalam diri seorang guru seperti yang berikut:

TARBIAH

Tarbiah bermaksud suatu proses merealisasikan pembinaan insan, pembentukan dan pemasyrakatan seseorang selaras dengan dasar yang digariskan oleh sesuatu falsafah agar individu tersebut dapat menunjukkan keperibadian yang tinggi dalam setiap perilaku. Oleh itu, menjadi seorang guru mestilah mempunyai akhlak yang mulia supaya dapat memupuk sifat-sifat yang positif antara guru dan pelajar.


TA'ALIM

Ta'alim bermaksud menyeru atau mengajak sama ada untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Oleh itu, guru berperanan menjadi pembimbing kepada pelajar dalam melaksanakan perkara-perkara yang mentaati perintah Allah s.w.t serta meninggalkan segala perbuatan laranganNya. 

TA'ADIB

Ta'adib bermaksud suatu proses pengajaran atau pemindahan ilmu kepada manusia untuk merealisasikan fungsi, tugas dan statusnya sebagai kalifah Allah di bumi. Oleh itu, guru berperanan penting untuk mendidik generasi ke arah kecemerlangan khususnya dalam aspek adab dan akhlak bagi melahirkan insan yang sempurna.


Secara kesimpulannya, Falsafah Pendidikan Barat dan Falsafah Pendidikan Islam mempunyai perbezaan yang ketara dari segi konsep, prinsip, kurikulum, peranan guru, namun kedua-dua falsafah tersebut mempunyai persamaaan yang sama  melalui kaedah pendidikan yang menggalakkan manusia berfikiran kritis. Oleh itu, semua pendidik haruslah memikul tanggungjawab yang besar dalam melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Falsafah Pendidikan Barat dan Falsafah Pendidikan Islam.



 

No comments:

Post a Comment