KENAPA SAYA INGIN MENJADI SEORANG GURU/PENDIDIK?
1. MINAT DAN CITA - CITA
Dalam kehidupan setiap manusia mestilah mereka mempunyai minat dan cita - cita tersendiri, tidak terkecuali juga saya yang mempunyai minat dan cita-cita ingin menjadi seorang PENDIDIK. Ini kerana, sejak dari sekolah rendah hingga sekarang apabila hari guru berlangsung pada 16 Mei saya akan menyanyikan lagu Hari Guru Malaysia yang merupakan lagu berhantu bagi saya 😆, saya pun turut menghafal serta menyanyikan lagu tersebut dengan penuh bersemangat bersama-sama guru seperti lirik berikut:
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada seri paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Setelah mengkaji lirik tersebut ia membuatkan saya begitu terpegun keranasetiap bait-bait lirik tersebut sangat bermakna kepada insan yang bergelar GURU. Hal ini membuatkan saya teruja apabila ditanyakan tentang cita-cita apabila sudah dewasa, tentulah jawapan saya ingin menjadi seorang "CIKGU". Tambahan pula sewaktu di sekolah menengah, saya mempunyai keakraban dengan seorang guru. apabila di dalam kelas saya selalu berseloroh kepada beliau dengan mengatakan "Sir, besar nantikan doakan saya jadi cikgu ya"😂 reaksi beliau hanya ketawa kecil dan angguk sahaja.
Beliau merupakan guru lelaki berbangsa India yang mengajar saya mata pelajaran sains ketika berada di dalam tingkatan 4 dan 5. Beliau juga seorang guru yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada saya tentang pelajaran, kerana saya lemah dalam mata pelajaraannya. Namun begitu, beliau sentiasa berkata kepada saya "Awak jangan berputus asa, saya tahu awak boleh buat cuma perlukan usaha dan saya doakan cita-cita awak ingin menjadi seorang guru berjaya" ia membuatkan saya terharu dan sebak sehingga saya mendapat keputusan A dalam subjek sains.
Alhamdulillah, sekarang saya sudahpun melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di UTHM untuk mengejar cita-cita saya menjadi seorang pendidik. Walaupun kemasukan pertama pada bulan Oktober 2020, saya tidak berjaya kerana mendapat panggilan di USM, namun saya terus berusaha untuk menempatkan diri di UTHM bagi kemasukan yang kedua pada bulan Februari 2021. Oleh itu, saya telah mengambil keputusan yang sangat berat untuk berhenti pengajian dari USM dan melepaskan tawaran PPBU Bank Rakyat, lalu bertukar ke UTHM dalam bidang pendidikan yang sangat saya impikan dari sekolah lagi.
"Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan."
Ini menunjukkan minat saya terhadap pendidikan sangat tinggi walaupun terdapat banyak onak duri yang perlu di tempuhi semasa ingin menyambung pengajian di sini. Semoga usaha dan pengorbanan yang telah saya dilakukan ini dapat membuahkan hasil kelak.
2. DORANGAN KELUARGA
Setiap apa yang kita lakukan, sudah semestinya memerlukan dorangan dari sesiapa saja termasuklah kedua ibu bapa. Sewaktu saya menyambung pengajian pada peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan, bapa saya inginkan saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan supaya saya menjadi seorang jurutera kelak, namun saya tidak berminat untuk menjadikan ia sebuah kerjaya kerana saya sudahpun mempunyai impian tersendiri kerana jiwa saya lebih ke arah kepada pendidikan.
Pada akhir semester, saya sudah bersemangat menyenaraikan beberapa universiti awam yang menawarkan bidang pendidikan teknik dan vokasional untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Oleh itu, saya telah menyatakan hasrat kepada ibu dan bapa untuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan. Namun begitu, bapa saya kurang yakin dengan keputusan yang diberikan oleh saya, manakala ibu saya sangat memberi dorangan serta gembira kerana saya menyambung pengajian dalam bidang pendidikan kerana ibu tahu akan minat saya. Hal ini, membuatkan saya tersepit di antara keputusan kedua ibu bapa kerana saya perlukan dorangan mereka untuk membuat keputusan.
Setelah membuat perbincangan, bapa saya mula terbuka hati untuk menerima keputusan saya, malahan dia juga berfikir bahawa anaknya ini mempunyai cita-citanya sendiri dan beliau sebagai bapa seharusnya memberi dorangan dan semangat terhadap anaknya. Saya sangat bersyukur kerana kedua ibu bapa memberikan keyakinan kepada saya untuk meneruskan pengajian dalam bidang bidang pendidikan kerana restu ibu bapa adalah penting dalam kehidupan seorang anak dalam menuntut ilmu. Oleh yang demikian, saya berjanji akan memenuhi harapan keluarga untuk menggenggam segulung ijazah dan menjadi seorang pendidik kelak suatu hari nanti.
3. KERJAYA YANG MULIA
Tidak dinafikan lagi kerjaya menjadi guru itu adalah mulia. Walaupun terdapat pekerjaan yang lebih gah dari profesion seorang guru. Namun bagi saya, kerjaya yang dipilih iaitu menjadi seorang guru adalah pekerjaan yang sesuai dengan jiwa saya. Tambahan pula, kita juga bermula dari hasil didikan seorang guru dari kecil sehingga dewasa. Antara peranan guru adalah berusaha untuk melahirkan anak bangsa yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai sejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Selain itu, profesion guru mestilah mempunyai sifat kesabaran yang tinggi. Ini kerana, guru perlu berhadapan dengan anak didik yang mempunyai pelbagai karenah yang bermacam ragam. Walaupun kerja ini dipandang mulia, namun begitu terdapat cabaran yang perlu di tempuhi dalam mendidik anak bangsa yang sekarang ini boleh dikatakan sangat mencabar. Oleh yang demikian, seorang guru mestilah mempunyai sifat yang berani, kental dan ikhlas dalam menghadapi cabaran ini.
4. PEMBELAJARAN BERTERUSAN
Pembelajaran secara berterusan ini adalah merujuk kepada pembelajaran sepanjang hayat. Sebagai seorang guru, kita mestilah sentiasa belajar tentang sesuatu benda yang baharu. Tambahan pula, saya juga suka meneroka benda yang baharu. Oleh yang demikian, kepentingan pembelajaran secara berterusan ini dapat saya mengukuhkan pengetahuan sedia ada dan menambah pengetahuan mengikut peredaran masa. Contohnya, sebagai guru mereka bukan sahaja memberi ilmu kepada anak-anak didik, tetapi kadang kala kita sendiri yang belajar dari anak murid benda yang mereka tahu tapi kita tidak tahu. Proses mencari ilmu ini adalah berterusan sehingga ke akhir hayat.
APAKAH PANDANGAN AWAL SAYA TERHADAP FALSAFAH ?
Secara jujurnya saya tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan falsafah. Namun begitu, setelah saya meneliti setiap subjek yang harus di ambil pada kursus ini saya mula membuat persediaan dengan mengkaji setiap subjek yang diambil termasuk subjek falsafah pendidikan. Oleh yang demikian, saya mula telah membuat pemahaman sendiri sebelum memulakan pengajian dengan membuat pembacaan di internet. Pada pandangan awal saya, falsafah merupakan suatu pegangan dan kepercayaan terhadap sesuatu perkara kehidupan seperti keberadaan, pengetahuan, nilai, akal, fikiran dan bahasa. Ia merupakan satu usaha yang tuntas bertujuan untuk mendapat kebenaran. Para pengamal dalam bidang ini dipanggil sebagai ahli falsafah, ahli fikir dan filsut.
SELEPAS 3 MINGGU KULIAH, BAGAIMANA SAYA DAPAT MENGUBAH PANDANGAN MENGENAI FALSAFAH PENDIDIKAN ?
PENGENALAN TERHADAP FALSAFAH
Pada minggu pertama memasuki kelas falsafah pendidikan ini, saya mula didedahkan dengan pengenalan terhadap falsafah pendidikan. Istilah falsafah berasal dari 2 perkataan Yunani "Philos" dan "Sophia" apabila digabungkan menjadi maksud mencintai kebijaksanaan. Secara ringkasan, falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Dengan itu, saya juga dapat mengetahui apa tujuan kita dalam mempelajari falsafah iaitu;
- Falsafah dapat membentuk suatu pandangan yang sistematik pada setiap sesuatu yang wujud di dalam dunia ini.
- Falsafah dapat memberikan suatu pandangan hidup, serta memberikan manusia peluang dalam berfikiran baik dan buruk tentang sesuatu perkara.
- Falsafah dapat membantu manusia berfikir dengan secara kritikal dan logik melalui penyelidikan dan pengalaman.
- Falsafah dapat membantu manusia berfikir secara jujur dan teliti dalam makna kehidupan bagi seseorang. Ini dapat menentukan manusia ke arah kehidupan yang lebih tinggi dan mulia.
TOKOH-TOKOH FALSAFAH PENDIDIKAN
Seterunsya, saya juga mengenal pasti pelbagai pendapat yang diberikan oleh ahli-ahli falsafah. Oleh yang demikian, lahirlah pelbagai aliran yang diikuti dan menjadi amalan oleh manusia sampai sekarang. Berikut adalah tokoh-tokoh falsafah barat, timur dan Islam yang telah dipelajari;
- Socrates (469 - 399 SM)Falsafah beliau berpusatkan kepada manusia dan tingkah laku.
- Plato (427 - 347 SM)Mengikut beliau, falsafah ialah usaha mencari kearifan melalui proses dialektif dan usaha mengetahui hal keadaan jiwa manusia.
- Aristottle (384 - 322 SM)Beliau menegaskan falsafah sebagai ilmu tentang kebenaran.
- Cicero (106 - 43 SM)Beliau menegaskan falsafah sebagai seni kehidupan.
- Thomas Aquinas (1227 - 1274) Falsafah beliau adalah alat untuk menetapkan kebenaran ketuhanan sekadar yang dapat dicapai oleh akal manusia.
- Thomas Hobbes (1588 - 1679)Beliau merumuskan falsafah sebagai ilmu pengetahuan yang menerangkan hubungan sebab dan akibat (cause and effect).
- Immanuel Kant (1724 - 1804)Beliau berpendapat perkara yang berkaitan falsafah bukan menentukan peraturan, tetapi menganalisis pendapat peribadi terhadap penjelasan umum.
- John Dewey (1859 - 1925)Beliau berpendapat falsafah ialah satu alat membuat penyesuaian antara lama dengan baharu dalam sesuatu kebudayaan. Oleh itu, sekolah haruslah berperanan sebagai masyarakat dalam bentuk yang kecil.
- Al - Farabi (874 M - 950 M)Beliau banyak mengkaji mengenai falsafah dan Teori Socrates, Plato dan Aristotle dalam usahanya menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagian.
- Al - GhazaliBeliau berpendapat pendidikan adalah satu proses yang merangkumi aspek-aspek seperti intelek, latihan jasmani dan pembentukan akhlak yang mulia, berani dan hormat-menghormati.
HUBUNGAN DI ANTARA FALSAFAH + PENDIDIKAN
Selanjutnya, saya juga dapat menambah ilmu yang baharu berkaitan hubungan di antara falsafah dan pendidikan. Pendidikan menurut Kamus Pendidikan (1979) bermaksud satu proses menyeluruh yang bertujuan untuk memperkembangkan kebolehan dan tingkah laku manusia. Oleh yang demikian, fungsi pendidikan dapat mencapai kesedaran diri, berpengetahuan dan mengembangkan potensi diri selari dengan fitrah dan nilai kerohanian manusia. Justeru, hubungan antara pendidikan dan falsafah adalah seperti berikut;
- Proses menyampai dan menuntut ilmu dengan rasa cinta terhadap pengetahuan.
- Mengembangkan potensi diri dengan kebijaksanaan meneroka melalui proses penyampaian dan penerimaan ilmu.
No comments:
Post a Comment